Skip to main content

10 Destinasi Menarik di Perak: Temui Keunikan Negeri Bertuah

Perak, sebuah negeri yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia, sebenarnya sangat kaya dengan sejarah, budaya, dan keindahan alam semula jadi yang sangat cantik. Dari sebuah kampung, hingga ke bandar-bandar bersejarah, Perak menyediakan pelbagai destinasi menarik yang pasti menggamit hati setiap pengunjung. Berikut adalah 10 destinasi yang mesti anda kunjungi ketika berada di negeri bertuah ini.

1. Bandaraya Ipoh

Ipoh ialah ibu negeri Perak, terkenal dengan tinggalan warisan kolonial yang masih terpelihara, pusat membeli-belah dan pelbagai makanan yang enak. Berjalan-jalan di sekitar Old Town sambil melihat seni mural yang menarik dan meninjau senibina lama yang masih dijaga dengan baik. Apabila singgah menginap di sini, jangan lupa mencuba kopi putih yang ikonik di kedai kopi lama seperti Nam Heong. 



2. Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bagi mereka yang mencari ketenangan di tengah alam semula jadi, Bukit Larut adalah destinasi yang sesuai untuk anda. Terletak di daerah Taiping, bukit ini mempunyai suhu yang sejuk dan udara yang segar. Anda boleh datang untuk menikmati pemandangan indah hutan tropika dan bunga-bunga eksotik sambil bersantai di banglo kolonial yang terdapat di puncak bukit.

Foto: ML2003


3. Gua Tempurung

Salah satu gua terbesar di Malaysia iaitu Gua Tempurung merupakan destinasi yang wajib dikunjungi oleh pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak apabila sudah berada di negeri ini. Terletak berhampiran dengan Gopeng, gua ini memiliki pelbagai formasi batuan yang unik dan pengalaman meneroka gua yang boleh dikatakan sebagai mencabar. Pengunjung boleh memilih untuk membuat lawatan pendek atau panjang yang melibatkan menyusuri sungai di bawah tanah. Apapun, jika anda suka, hati-hati ketika berada di tempat-tempat seperti ini ya!

Foto: Jo-Ann


4. Taman Negeri Royal Belum

Jika anda selalu berulang-alik antara Kelantanb dan Perak atau Pulau Pinang, anda pasti akan melalui kawasan Tasik Belum. Terletak di kawasan Hulu Perak, Taman Negeri Royal Belum adalah salah satu hutan hujan tertua di dunia, lebih tua daripada hutan Amazon. Taman ini adalah syurga bagi penggemar ekopelancongan dan fotografi hidupan liar. Di sini, anda boleh menyaksikan spesies haiwan yang jarang ditemui seperti harimau Malaya dan badak sumatera, serta menikmati keindahan air terjun dan tasik.

Foto: royalbelum.my


5. Pulau Pangkor

Pulau Pangkor adalah antara destinasi pantai yang agak popular dengan pantainya berpasir putih dan air laut yang jernih. Pulau ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti snorkeling, menyelam, dan berkelah di tepi pantai. Selain itu, jangan lupa untuk mengunjungi Kota Belanda dan meninjau bagaimana keadaan kehidupan di pulau ini. Jika anda merancang untuk menginap di sini, pastikan anda memeriksa pilihan penginapan dan aktiviti menarik yang boleh meningkatkan pengalaman percutian anda di pulau cantik ini.

Foto: Cale via Tripadvisor


6. Kuala Kangsar

Kuala Kangsar, bandar diraja Perak, sangat kaya dengan sejarah dan warisan kebudayaan negeri Perak. Salah satu struktur yang menjadi mercu tanda daerah DiRaja ini ialah Masjid Ubudiah yang terkenal dengan kubah emasnya dan keunikan senibinanya. Selain itu, Istana Iskandariah dan Istana Kenangan memberikan gambaran tentang kemegahan istana diraja di masa lalu. Bandar ini juga terkenal dengan produk kraftangan tradisional seperti labu sayong.

Foto: Azreey, CC BY-SA 3.0 via commons wikimedia


7. Taiping

Selain Kuala Kangsar, Taiping juga merupakan sebuah bandar yang kaya dengan warisan sejarah, juga dikenali sebagai perintis bagi banyak perkara di Malaysia. Tempat-tempat menarik seperti zoo hingga stesen keretapi pertama di negara ini, Taiping dipenuhi dengan cerita sejarah yang menarik untuk dipelajari. Taman Tasik Taiping ialah taman tasik tertua di Malaysia, memiliki suasana yang tenang dan pemandangan yang menakjubkan, menjadikannya salah satu destinasi yang ideal untuk bersantai dan orang sekarang sebut 'healing'. 

Selain itu, anda boleh berkunjung ke Muzium Perak yang menjadi salah satu mercu tanda penting di Perak yang mempamerkan pelbagai khazanah sejarah, budaya dan masyarakat Negeri Perak. Dalam pada itu, anda juga boleh melihat senibina bangunan muzium ini yang menonjolkan gaya senibina kolonial sejak tahun 1883. 

Foto: Muzium Perak


8. Kellie’s Castle

Mungkin ramai yang tidak sempat untuk mengunjungi struktur lama ini yang terletak di Batu Gajah, Perak. Boleh jadi kerana kedudukannya yang agak sedikit ke dalam dari laluan lebuhraya dan agak sedikit jauh daripada Bandar Besar. Kellie’s Castle ialah sebuah istana lama yang dibina oleh seorang peladang Skotlandia bernama William Kellie Smith. Bangunan ini terkenal dengan rekabentuknya yang unik dan cerita misteri yang mengelilinginya. Walaupun tidak pernah siap sepenuhnya, istana ini tetap menjadi daya tarikan pelancong kerana latar belakang sejarahnya yang menarik. 

Apakata, percutian kali ini, anda singgah sebentar di Kellie's Castle untuk melihat keunikan dan kemegahan senibina lama ini sebelum meneruskan perjalanan percutian atau ketika dalam perjalanan pulang. 


9. Menara Condong Teluk Intan

Antara keunikan yang terdapat di Perak ialah Menara Condong Teluk Intan yang merupakan antara mercu tanda unik di Malaysia. Struktur ini sering dibandingkan dengan Menara Condong Pisa di Itali. Menara ini asalnya dibina sebagai tangki air, tetapi kini menjadi antara daya tarikan pelancong yang sangat popular. Sebelum meneruskan perjalanan ke Lumut, apa kata singgah berkunjung di sini sebentar untuk bergambar sebagai kenangan. Anda boleh menaiki tangga menara untuk menikmati pemandangan dan melihat Bandar Teluk Intan dari atas.

Foto: HuahinCharlie


10. Lumut

Sebagai pintu masuk ke Pulau Pangkor, Lumut adalah sebuah bandar pelabuhan yang menarik dengan pemandangan tepi lautan yang menenangkan. Bandar ini terkenal dengan makanan laut segar, makanan kering, masakan panas dan kawasan santai sambil menikmati suasana angin laut. 

Dari Lumut, anda boleh menaiki feri ke Pulau Pangkor melalui Jeti Lumut atau hanya bersantai di pesisir pantai yang tenang sambil menikmati angin laut yang menyegarkan. Jika anda merancang untuk menginap di sini, lihat pilihan penginapan yang menarik di sini untuk memastikan pengalaman percutian yang selesa.

Foto: Malekhanif via commons wikimedia


Teroka lebih Banyak Tempat Menarik

Perak sememangnya sebuah negeri yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan dari segi kekayaan sejarahnya sehingga keindahan alam semula jadi yang mengagumkan. Setiap destinasi di negeri ini menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan, sama ada anda seorang penggemar sejarah, pencinta alam, atau sekadar mencari tempat untuk berehat, Perak semestinya mempunyai sesuatu yang istimewa untuk anda. Perak mempunyai banyak lagi tempat yang menari untuk dikunjungi. Pastikan anda meluangkan masa untuk meneroka lebih banyak lagi keindahan negeri bertuah ini dalam perjalanan anda yang seterusnya.

Jangan lupa untuk merakam setiap momen berharga anda dengan gimbal stabilizer yang berkualiti untuk video yang lebih stabil dan profesional. Barulah syok!

* Sekiranya terdapat kesilapan/pembetulan terhadap artikel ini, maklumkan di ruangan komen

Comments

Popular posts from this blog

Seni Jalanan dan Impaknya kepada Masyarakat Bandar

Dalam dekad kebelakangan ini, seni jalanan telah muncul sebagai salah satu bentuk ekspresi yang paling dinamik dan relevan dalam masyarakat bandar di seluruh dunia. Ia bukan sahaja menawarkan peluang kepada seniman untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mencerminkan masalah sosial, budaya, dan politik yang melanda sesebuah masyarakat, sama ada dalam konteks tempatan mahupun secara global. Evolusi Seni Jalanan di Bandar Seni jalanan pada mulanya dianggap sebagai vandalisme atau sesuatu yang bersifat anti-establishment. Namun, seiring dengan perkembangan semasa, ia telah diterima masyarakat sebagai medium seni yang sah. Bandar-bandar seperti New York, Berlin, dan Melbourne terkenal dengan karya seni jalanan mereka, di mana tembok-tembok kosong diubah menjadi kanvas besar yang menyampaikan mesej kepada penduduk setempat. Di Malaysia sendiri, seni jalanan menjadi daya tarikan pelancongan, seperti di kawasan Georgetown, Pulau Pinang y...

Sony Menutup Studio Firewalk dan Menamatkan Concord Serta Merta

Imej: psu.com Dalam satu langkah mengejutkan, Sony Interactive Entertainment (SIE) telah mengumumkan penutupan secara kekal Firewalk Studios, pembangun di sebalik eksklusif PlayStation yang kurang berjaya, Concord. Keputusan ini dibuat kurang dari dua bulan selepas Concord dihentikan akibat penerimaan buruk dan bilangan pemain yang rendah. Imej: playstation-studios.fandom.com Concord, sebuah permainan penembak orang pertama (PvP), dilancarkan pada 23 Ogos 2024, tetapi dihentikan penjualannya pada 6 September 2024 selepas menerima ulasan negatif yang meluas dan gagal menarik sebilangan besar pemain. Pada puncaknya, permainan ini mempunyai kurang daripada 700 pemain serentak di Steam. Imej: videogameschronicle.com Hermen Hulst, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Studio SIE, menyatakan dalam e-mel dalaman bahawa setelah meneroka pelbagai pilihan, jalan terbaik adalah untuk menutup permainan secara kekal dan menutup studio. Hulst menyampaikan terima kasih kepada pasukan F...

Rahsia Kejayaan: Kisah Inspirasi dari Tokoh-Tokoh Ternama

Kejayaan bukanlah sesuatu yang datang secara tiba-tiba. Ia memerlukan usaha, dedikasi, dan ketekunan yang tinggi. Dalam artikel ini, kita akan melihat beberapa tokoh ternama yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing dan mengkaji rahsia di sebalik kejayaan mereka. Melalui kisah-kisah ini secara ringkas, kita dapat belajar tentang prinsip-prinsip kejayaan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan kita. 1. Oprah Winfrey: Ikon Media dan Filantropis Oprah Winfrey adalah seorang tokoh media yang telah membina empayar perniagaan yang besar. Beliau terkenal dengan program bual bicara "The Oprah Winfrey Show" yang menjadi salah satu rancangan televisyen paling berjaya dalam sejarah. Oprah juga seorang filantropi yang aktif dalam pelbagai kegiatan amal, termasuk pendidikan dan pemerkasaan wanita. Imej: oprah.com Kunci Kejayaan: Ketekunan dan kerja keras: Oprah memulakan kerjayanya dari bawah sebagai penyampai berita dan perlahan-lahan membina reputasinya dalam i...